BERBUAT BAIK & BERBAKTI KEPADA IBU BAPA...

Tiba-tiba hati terdetik dan teringat akan mak & bapa yang jauh di tanah air tercinta. Rindu pada mereka...sudah agak lama tidak melihat wajah mereka melalui 'Skype' lantaran kesibukan diri ini (bolehkah ini dijadikan alasan?)....

Apa khabar mereka di kala ini...rindu pula masakan mak. Angah doakan biar sentiasa sihat dan berada dalam lindungan Ilahi hendaknya, dipanjangkan umur dalam iman, moga kita dapat berjumpa nanti. Moga dimurahkan rezeki olehNya untuk bertemu muka, insyaAllah.

Itulah lumrah manusia, rindu bila berjauhan, bila dekat kekadang buat endah tak endah saja. Ingatan buat diri ini, selagi masih ada hayat kedua orang tua, berbuat baiklah kepada mereka. Berbaktilah kepada mereka semampunya walaupun mereka tiada meminta sebarang balasan kerana membesarkan kita sehinggalah kita berjaya seperti sekarang ini.

Jangan ditunggu hingga mereka menutup mata dipanggil Ilahi baru kita hendak sedar. Hargailah, kasihilah dan sayangilah mereka semasa hayat dikandung badan. Buat yang tinggal berdekatan lebih mudah untuk bertanya khabar dan mengambil berat keperluan mereka. Buat yang berjauhan janganlah jarak dijadikan pemisah dan sempadan kasih sayang.

Ingatlah pengorbanan mereka menjaga, mendidik dan mengasuh kita tidak akan terbalas selamanya. Jangan diandaikan sumbangan wang ringgit seratus dua sudah memadai kerana ada kalanya bukan itu yang mereka inginkan daripada anak-anak. Bagi yang berpendapatan dan mampu, jangan sekali-kali berkira dengan kedua ibu bapa. Hulurkan sumbangan walau tidak diminta. Jangan hanya memikirkan dan mementingkan kehendak sendiri sahaja.

Berapa lamakah lagi agaknya hayat mereka di muka bumi ini? Maka, berbaktilah kepada mereka sebaik-baiknya. Andaikata kita dijemput terlebih dahulu untuk bertemuNya, berlapang dadalah kita. Sesungguhnya tidak akan rugi sedikit pun amal bakti terhadap kedua ibu bapa yang akan diganjari sebaiknya oleh Allah Maha Esa. Aku mohon keampunanMu...

 Renungilah firman Allah swt:

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada kedua orang tua dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Al-Israa: 23)

Comments

  1. You suddenly thought of your parents and felt the guilt for not contacting them. You prayed for their well-being and followed with a long 'sermon' that one should always be kind to parents etc etc. Nothing was mentioned that you HAD indeed contacted them. That is not correct. Contact them first and say that you did and deliver your 'sermon'. A Quranic verse says '... why do you say what you do not do .... "

    It is only a fatherly advice. I lost my grandma and my own parents without as much a chance to see their burials. There was not even a telephone I could contact them then, let alone the luxury of skype.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog